KENYATAAN AKHBAR
5 Jun 2005
Untuk Siaran Segera
 

SPNB SERAH PROJEK PERINTIS PERUMAHAN MAMPU MILIK DI MELAKA

Jasin, Melaka, 5 Jun - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) buat pertama kalinya menyerahkan projek perintis perumahan mampu milik olehnya di Melaka, di bawah Skim Rumah Mampu Milik, yang membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah.

Projek perumahan Taman Seri Hilir bernilai RM11.5 juta ini, mempunyai 306 unit rumah kos rendah satu tingkat berharga di antara RM35,000 ke RM67,708 seunit dan 10 unit rumah kedai satu tingkat bernilai di antara RM83,250 ke RM96,000 seunit.

Majlis penyerahan kunci telah diadakan pada hari ini dan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Y.A.B. Datuk Seri Haji Mohd Ali Mohd Rustam, disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif SPNB dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Terletak di On Lok, Jasin di atas tanah seluas 20 ekar milik Kerajaan Negeri, setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan lantai 700 kaki persegi.

Menurut Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, “Projek ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan untuk menyediakan kediaman yang mampu milik oleh golongan yang berpendapatan rendah.”

“Sebagai salah satu perancangan yang diumumkan Pakej Strategi Baru ekonomi pada tahun 2003, SPNB dijangka akan membina 150,000 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah dalam tempoh lima tahun akan datang,” tambahnya lagi.
Menurut Datuk Tengku Adnan lagi, “Dengan memberi tumpuan kepada rumah mampu milik, kami dapat mengisi kekurangan yang wujud akibat kurangnya pembinaan rumah-rumah seperti ini. Tujuan kita adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada mereka yang tidak pernah terfikir yang mereka mampu memiliki sebuah rumah.”

Di Melaka, terdapat dua lagi projek perumahan mampu milik iaitu Taman Seri Asahan, Jasin dan Taman Limbongan Permai, Melaka Tengah, yang telah diperkenalkan di pasaran sejak dua tahun lepas.

Kediaman di Taman Seri Asahan berharga di antara RM35,000 ke RM93,000, manakala rumah-rumah di Taman Limbongan Permai pula dijual dengan harga bermula daripada RM42,000. Setiap unit di kedua-dua projek mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keluasan lantai 700 kaki persegi.

SPNB terlibat terutamanya dalam sektor pembinaan rumah kos rendah dan sederhana di Malaysia. Baru-baru ini, SPNB telah dipertanggungjawab bagi projek perumahan bernilai RM4 bilion untuk membina 30,000 buah rumah mampu milik di Sabah dan dijadual akan siap secara berperingkat menjelang 2008.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi kakitangan Pemasaran & Jualan di talian 03-2052 3838 pada waktu pejabat.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170