KENYATAAN AKHBAR
18 Jun 2005
Untuk Siaran Segera
 

SPNB LANCAR SKIM RUMAH MESRA RAKYAT DI KELANTAN
Rumah selesa, mampu dimiliki untuk keluarga miskin, berpendapatan rendah

Kok Lanas, Kelantan, 18 Jun – Keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan miskin di seluruh Negeri Kelantan kini berpeluang memiliki rumah idaman mereka melalui Skim Rumah Mesra Rakyat, yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dan dilaksanakan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) secara umumnya sejak tahun 2003.

Skim Rumah Mesra Rakyat telah dilancarkan dengan rasmi pada hari ini di Negeri Kelantan oleh YB Dato’ Haji Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Majlis ini turut disaksikan oleh Y. Berusaha En. Mohd. Amin Mohd. Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Buat masa ini, di sekitar Negeri Kelantan, SPNB telah berjaya membina 25 buah rumah di bawah skim ini, dengan pembinaan pertama telah dimulakan pada Januari 2004 di Mukim Chekok, Kota Bharu.

Kerja-kerja pembinaan 58 buah rumah lagi di Kelantan telahpun dimulakan dan dijadualkan siap menjelang akhir Ogos tahun ini. Setakat ini, SPNB telah mengedarkan 3,591 borang permohonan di seluruh Negeri Kelantan melalui wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.

Setiap rumah ini, yang bernilai RM40,000 atau RM50,00 seunit, dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan keluasan binaan 1000 kaki persegi dan keluasan tanah 3000 kaki persegi.

Menurut Mohd. Amin Mohd. Salleh, “Para pemohon perlu menyediakan tanah dan kami akan membantu mereka untuk membina rumah berkenaan setelah permohonan tersebut diluluskan,”

“Setakat ini, kami telah membina dan menyerahkan 605 buah rumah dan sedang dalam proses meluluskan pembinaan 842 buah rumah lagi yang dijangka bakal melibatkan kos sejumlah RM33.68 juta.”

“Buat masa ini, kami sedang membina 682 buah rumah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat.”

Skim Rumah Mesra Rakyat telah dilaksanakan bagi memudahkan keluarga miskin dan amat miskin untuk memiliki rumah.

Bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung mereka, skim ini membolehkan keluarga-keluarga ini membayar dua-pertiga daripada kos pembinaan seunit rumah dengan bayaran balik RM100 selama 22 tahun atau 28 tahun, berlandaskan konsep Al-Qardhhul Hassan, pembiayaan perumahan tanpa faedah cara Islam.

Sementera, satu-pertiga daripada kos pembinaan disubsidi melalui Dana Khas Kerajaan Persekutuan.

Hingga kini, SPNB telah dan menjangka membelanjakan sebanyak RM85.1 juta, dengan matlamat menyediakan peluang memiliki rumah, kepada yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.

Rakyat Malaysia berumur tidak lebih daripada 65 tahun yang berminat dan berkelayakan iaitu kurang berkemampuan dan tidak mampu membeli rumah tetapi mempunyai tanah, boleh mendapatkan borang permohonan daripada Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat.

Diharapkan akhirnya, skim ini boleh membantu negara mencapai matlamat disasarkan iaitu menyediakan sebuah rumah bagi setiap keluarga.

Pada majlis yang sama, SPNB juga telah menyerahkan kunci-kunci kediaman Rumah Mesra Rakyat kepada para penerima yang layak daripada sekitar Negeri Kelantan.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170