KENYATAAN AKHBAR
25 Jun 2005
Untuk Siaran Segera
 

SPNB BAIKPULIH PROJEK PERUMAHAN TAMAN SRI BAYU

Pulau Pinang, 25 Jun - Syarikat Perumahan Negera Berhad, sebuah anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), telah berjaya membaikpulih pembinaan kawasan perumahan terbengkalai, Taman Sri Bayu di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Usaha ini mengakhiri kekecewaan dan ketidakpastian para pembeli rumah Taman Sri Bayu, yang telah menunggu dengan penuh sabar setelah projek perumahan ini dibiarkan terbengkalai setelah pemaju perumahan terdahulu mengalamai masalah kewangan dan pengurusan.

Majlis penyerahan kunci telah diadakan pada hari ini dan disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir bersama adalah Y.B. Dato’ Seri Ong Ka Ting, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Y.A.B. Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Pulau Pinang, dan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Projek ini melibatkan 234 unit rumah pangsapuri kos rendah dan 496 unit rumah kos sederhana rendah, yang telah siap 90 peratus ketika pemaju terdahulu menghentikan pembinaan projek ini.

SPNB telah diarahkan untuk mengambilalih projek ini pada April 2002 oleh Kementerian Kewangan. Setelah berjaya menyelesaikan masalah dan isu yang timbul berkenaan projek ini, satu mesyuarat bersama pembeli-pembeli rumah telah diadakan pada Mac 2003.

Kebenaran untuk memulakan kerja telah diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Jun 2003.

Kerja-kerja membaikpulih projek ini telah bermula pada Ogos 2003 disebabkan isu-isu perundangan yang merumitkan antara pihak-pihak yang terlibat dalam projek ini.

Pengerusi Eksekutif SPNB, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kerja-kerja membaikpulih bagi Taman Sri Bayu hanya dimulakan awal Ogos 2004 setelah isu-isu perundangan akhirnya berjaya diselesaikan.

“Kami sedar, disebabkan kegagalan para pemaju perumahan menyiapkan projek perumahan, impian para pembeli untuk memiliki sebuah rumah tidak tercapai dan dibebani oleh masalah kewangan, kerana terpaksa membayar sewa rumah dan pada masa yang sama membayar pinjaman perumahan dengan pihak bank.”

“Kami telah mengambilalih projek yang 90 peratus siap ini tanpa mengenakan apa-apa bayaran tambahan kepada para pembeli. Oleh itu, saya berharap dengan siapka projek ini, penderitaan yang ditanggung para pembeli akan berakhir.”

“Pada masa yang sama, SPNB akan terus berusaha dengan cara terbaik untuk membantu kerajaan bagi membaikpulih projek-projek perumahan terbengkalai di Malaysia agar para pembeli yang kurang bernasib baik ini akan memperolehi kediaman milik mereka,” tambahnya lagi.

Seramai 730 orang para pembeli projek ini telah dibiarkan dalam kesusahan disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab pemaju yang sepatutnya menyerahkan menyerahkan projek ini kepada para pemilik pada tahun 2001.

Merangkumi kawasan hampir seluas 5.2 ekar, projek perumahan Taman Sri Bayu melibatkan kediaman bernilai antara RM25,000 hingga RM49,990 dengan keluasan lantai 500 kps sehingga 625 kps.

Buat masa ini, terdapat 176 buah projek perumahan terbengkalai diletakkan dibawah skim pemulihan SPNB seperti yang diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang melibatkan 51,063 unit kediaman dengan anggaran nilai projek RM4.3 bilion.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170