KENYATAAN AKHBAR
7 Julai 2005
Untuk Siaran Segera
 

SPNB DAN HDC METERAI PERJANJIAN PEMBANGUNAN PERUMAHAN DI SARAWAK

Kuching, Sarawak, 7 Julai - Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) dan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), sebuah agensi Kerajaan Negeri Sarawak, pada hari ini memeterai Perjanjian Pembangunan yang membolehkan kedua-dua organisasi membangunkan rumah yang mampu dimiliki dan berkualiti di Mukah dan Sourabaya, Kuching.

Berdasarkan perjanjian ini, SPNB akan melaksanakan pembinaan projek-projek perumahan mampu dimiliki di bawah Skim Rumah Mampu Milik di atas tanah milik Kerajaan Negeri.

Skim Rumah Mampu Milik adalah sebuah skim yang membolehkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah yang selesa dengan harga yang berpatutan.

“Pada hari ini kami telah menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak melalui agensinya, HDC, untuk membangunkan rumah-rumah yang mampu dimiliki bagi memastikan para penduduk di Sarawak, terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri”, kata Mohd. Amin Mohd. Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Menurut Mohd. Amin Mohd. Salleh, “Projek perumahan ini mencerminkan keinginan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan matlamat “satu keluarga, satu rumah”.

“Unit-unit kediaman yang mempunyai keluasan lantai di antara 700 kaki persegi sehingga 850 kaki persegi ini akan dijual dengan harga yang amat berpatutan. Setiap unit akan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.”

Pada majlis menandatangani tersebut, SPNB telah diwakili oleh Datuk (Datu) Harun Datu Mansor, pengarah dan Mohd. Amin Mohd. Salleh, ketua pegawai eksekutif manakala HDC diwakili oleh pengerusinya, Abdul Wahab Aziz dan ketua pegawai eksekutif, Wan Mohd. Yusop Wan Moss.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah Dato’ Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan Sarawak.

SPNB terbabit terutamanya dalam sektor pembinaan rumah kos rendah dan sederhana di Malaysia. Baru-baru ini, SPNB telah dipertanggungjawab bagi projek perumahan bernilai RM4 bilion untuk membina 30,000 buah rumah mampu milik di Sabah dan dijadual akan siap secara berperingkat menjelang 2010.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek-projek perumahan yang ditawarkan oleh SPNB, sila hubungi kakitangan Pemasaran & Jualan di talian 03-2052 3838 pada waktu pejabat.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170