KENYATAAN AKHBAR
27 Januari 2007
Untuk Siaran Segera
 

SPNB TAWAR PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK PERTAMANYA DI JOHOR
Dengan bayaran muka serendah RM400

Johor Bahru, Johor, 27 Januari - Syarikat Perumahan Negera Berhad (SPNB), milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) hari ini mengadakan pelancaran jualannya yang pertama di Johor bagi Taman Seri Setanggi, sebuah projek perumahan mampu milik pertama di Negeri Johor di bawah skim Rumah Mampu Milik yang ditawarkan kepada umum.

Majlis pelancaran jualan ini telah dirasmikan oleh YB. Dato' Haji Baderi Haji Dasuki, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Perumahan Negeri Johor dan telah disaksikan oleh YB. Dato’ Shahrir Haji Abd. Samad, Ahli Parlimen Johor Bahru dan YBhg. Dato’ Othman Abdullah, Pengarah SPNB.

Taman Seri Setanggi terletak tidak jauh dari Pusat Bandar Johor Bahru dan berdekatan dengan beberapa pusat membeli belah utama dan pasar raya besar seperti Plaza Pelangi, Holiday Plaza, Giants, Carrefour dan AEON Tebrau City.

Tambahan pula, projek perumahan pembangunan strata seluas 18 ekar ini strategiknya terletak dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

Dengan bayaran pendahuluan serendah RM400, pembeli yang berkelayakan boleh mengambil pakej pinjaman yang menawarkan pembiayaan sehingga 110 peratus.

Dijangka siap pada bulan Disember tahun ini, terdapat dua jenis pangsapuri kos sederhana rendah yang ditawarkan kepada yang berminat.

Jenis pertama yang dijual pada harga RM50,000 seunit mempunyai keluasan 750 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Manakala, jenis kedua yang berkeluasan 850 kaki persegi dijual pada harga RM80,000 dan mempunyai empat bilik tidur dan dua bilik air.

Menurut Dato’ Othman Abdullah, “Disebabkan sambutan yang menggalakkan, SPNB telah berjaya menjual semua unit jenis pertama dan rumah kedai satu tingkat. Manakala, 30% daripada 544 unit rumah jenis kedua juga telah berjaya dijual.

’’Projek ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan untuk menyediakan perumahan mampu milik terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana,”

Dato’ Othman berkata lagi, ”Dengan memberi tumpuan kepada rumah mampu milik, kami dapat mengisi kekurangan yang wujud akibat kurangnya pembinaan rumah-rumah seperti ini.”

Selain daripada Taman Seri Setanggi, SPNB mensasarkan akan melancarkan sembilan projek perumahan di Negeri Johor iaitu di Pontian, Kluang, Batu Pahat, Segamat, Pasir Gudang and Johor Bahru menjelang penghujung tahun ini.

Projek-projek perumahan ini adalah usaha gigih Kerajaan untuk menyediakan kediaman yang selesa dengan harga yang berpatutan agar mampu dimiliki oleh keluarga di Negeri Johor.

SPNB terlibat secara langsung dalam sektor pembinaan rumah kos rendah dan sederhana di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek perumahan oleh SPNB di Negeri Johor, sila hubungi kakitangan jualan kami di talian 07-225 9900 pada waktu pejabat.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170