KENYATAAN AKHBAR
3 September 2007
Untuk Siaran Segera
 

BERITA GEMBIRA UNTUK PEMBELI RUMAH DI TAMAN LIMBONGAN PERMAI

Melaka, 3 September - Pembeli rumah di Taman Limbongan Permai berasa gembira apabila Datuk Zaini Hj. Md Noor, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menyerahkan Sijil Layak Menduduki (CFO) kepada YB Senator Dato’ Azian Osman, Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hari ini dengan disaksikan oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh YB Datuk Koh Nai Kwang, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Pengangkutan Melaka, YBhg. Dato’ Haji Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB, Ketua-ketua jabatan serta tetamu jemputan yang lain.

SPNB, syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) telah menyiapkan 676 unit rumah bandar (Town House) dan 114 unit rumah teres satu tingkat di Lorong Pandan Jalan Tengkera, Melaka. Projek ini juga menawarkan 59 unit rumah kedai dua tingkat untuk keperluan penduduk setempat menjalankan aktiviti perniagaan.

Di Melaka, SPNB telah melaksanakan beberapa projek perumahan di beberapa daerah dan Taman Limbongan Permai merupakan projek perumahan terkini yang berjaya disiapkan selepas dua projek di daerah Jasin siap sepenuhnya pada tahun 2005. Dua projek tersebut ialah Taman Seri Asahan dan Taman Seri Hilir yang melibatkan 585 unit rumah kos rendah dan 10 unit kedai.

Terdapat dua lagi projek yang akan dilaksanakan oleh SPNB di Melaka iaitu di Sungai Udang dan Batu Berendam yang melibatkan 1,171 pelbagai unit Rumah Mampu Milik dan unit komersil akan dibina di kawasan tersebut.

Untuk Melaka Tengah, Taman Limbongan Permai di Mukim Klebang Kechil merupakan projek pertama yang dilaksanakan oleh SPNB. Kawasan perumahan ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk para penduduknya seperti surau, taman permainan dan dewan pelbagai guna bagi memberi keselesaaan dan gaya hidup sihat kepada para penduduk di situ.

SPNB sangat komited untuk membina sebanyak 150,00 unit Rumah Mampu Milik di seluruh Malaysia. Bagi memenuhi matlamat tersebut, sejumlah 115,106 unit kediaman Mampu Milik di pelbagai lokasi telah dikenalpasti. Sehingga kini, SPNB telah menyiapkan 3,146 unit rumah dan juga unit komersil di seluruh negara.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170