KENYATAAN AKHBAR
3 Februari 2008
Untuk Siaran Segera
 

PROJEK PERUMAHAN SPNB YANG TERKINI DI JOHOR
Oleh: Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan

Kluang, 3 Feb – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan membina sejumlah 464 buah unit rumah teres satu tingkat di Lot PT 12565, Mukim Ulu Benut, Kluang Johor.

Taman Tiara Perdana dirasmikan oleh YB Dato’ Hj. Baderi bin Hj. Dasuki, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Perumahan Negeri Johor di tapak projek hari ini. Hadir sama dimajlis ini ialah YBhg. Dato’ Khairudin Samad, Pengurus Besar Kanan, Korporat dan Perkhidmatan SPNB.

Lokasinya yang strategik di jalan utama Simpang Renggam – Ayer Hitam dan lebih kurang 1km ke Pekan Simpang Renggam, Rumah Mampu Milik ini dibina di atas tanah pajakan dengan tawaran 15% potongan kepada pembeli Bumiputra.

Dua jenis rumah akan dibina berdasarkan saiz. Sejumlah 261 unit akan dibina di atas keluasan tanah minimum 20’ x 65’ / 850 kaki persegi dengan harga bermula RM78,115. Manakala 203 unit lagi akan dibina di atas keluasan tanah minimum 22’ x 70’ / 930 kaki persegi dengan harga permulaan RM84,938. Dengan bayaran deposit serendah RM500, mereka yang berminat untuk memiliki kediaman ini akan mendiami rumah baru mereka pada tahun 2010.

SPNB komited untuk membina sebanyak 150,000 Rumah Mampu Milik di seluruh Malaysia. SPNB telah mensasarkan pembinaan 27,000 unit rumah pada tahun 2010 di Johor yang merangkumi seluruh daerah iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Segamat dan Kulai.

Kini, SPNB sedang membina 752 unit rumah mampu milik di Johor Bahru (Taman Seri Setanggi), 1,022 unit di Kluang (termasuk Taman Tiara Perdana) dan 276 unit di Mukim Kesang, Muar. SPNB juga merancang untuk membina 18,971 unit lagi di negeri Johor pada masa akan datang.

Selain rumah mampu milik, SPNB juga membina kediaman untuk mereka yang kurang berkemampuan di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat. Dikhususkan untuk golongan yang berpendapatan rendah seperti petani dan nelayan, skim ini telah dilaksanakan di seluruh negara di mana 11,010 unit rumah telah diluluskan pembinaannya, 1,993 unit dalam pembinaan dan 4,428 unit telah diserahkan untuk didiami. Statistik menunjukkan negeri Johor telah mencatatkan 1,241 permohonan yang telah diluluskan, 197 unit dalam pembinaan dan 463 unit lagi telah disiapkan.

SPNB juga berperanan untuk membaikpulih projek-projek perumahan terbengkalai sepertimana yang diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sehingga 31 Disember 2007, sejumlah 70 projek perumahan terbengkalai yang terdiri daripada 20,793 unit rumah telah disiapkan dengan bantuan kewangan kerajaan dan juga khidmat nasihat SPNB. Sementara itu, SPNB sedang membaikpulih 20 buah projek lagi yang merangkumi 5,542 unit rumah.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan kediaman yang selesa untuk rakyat dan peningkatan permintaan dalam sektor perumahan negara, SPNB akan membuka dua buah cawangan iaitu di Kedah dan Kelantan pada masa akan datang.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170