KENYATAAN AKHBAR
17 Februari 2008
Untuk Siaran Segera
 

SPNB LANCAR PEJABAT CAWANGAN BARU DI KELANTAN
Oleh: Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan

Kota Bharu, 17 Feb – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) hari ini mengadakan majlis perasmian pejabat cawangan barunya di Kelantan.

Ia telah dirasmikan oleh YB Dato’ Dr. Awang Adek bin Hussin, Timbalan Menteri Kewangan dengan disaksikan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB.

Pejabat baru SPNB ini terletak di Tingkat Bawah, Lot 264, Wisma Nik Kob, Kota Bharu, Kelantan dan adalah pejabat cawangan yang keenam SPNB selepas pembukaan cawangan di Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Ia bertujuan untuk membantu rakyat untuk memiliki rumah mampu milik menerusi pelbagai skim yang ditawarkan seperti Skim Rumah Mampu Milik dan Skim Rumah Mesra Rakyat. Pejabat ini dibuka untuk urusan orang ramai pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Ia juga boleh dihubungi menerusi talian telefon 09-748 0458 / 0459.

Sewaktu menyampaikan ucapan aluan, Dato’ Mohd Amin menyatakan SPNB akan menawarkan perkhidmatan yang terbaik dalam visinya untuk menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat. “Tahun 2008 merupakan tahun yang sibuk bagi SPNB kerana kami komited untuk membangunkan 36,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dalam usaha untuk memenuhi sasaran pembinaan sebanyak 150,000 unit pada tahun 2010. Daripada jumlah tersebut, 8,000 unit akan dibina di negeri Kelantan”, tambahnya lagi.

YB Dato’ Dr. Awang Adek yang merasmikan pejabat cawangan baru SPNB menyatakan kehadiran SPNB di negeri Kelantan memperlihatkan bahawa Kerajaan begitu serius dalam memperbaiki kualiti hidup rakyat di negara kita.

Sementara itu, sejumlah 4,000 unit Rumah Mesra Rakyat akan dibina oleh SPNB pada tahun ini. Di Kelantan, sejumlah 419 unit rumah dari skim ini sedang dibangunkan manakala 774 unit telah diserahkan kepada pemilik rumah tersebut.

Di majlis yang berlainan pada sebelah petang, YB Dato’ Dr. Awang Adek telah menyerahkan 10 kunci Rumah Mesra Rakyat and 20 surat tawaran kepada pemohon Rumah Mesra Rakyat di Bachok.

Sebagai salah sebuah agensi penting yang menyediakan skim perumahan untuk rakyat, berteraskan pengalaman dan dedikasi kakitangannya di seluruh negara, SPNB bercita-cita untuk berada di tahap tertinggi dalam industri perumahan dengan mencapai penarafan ISO.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170