KENYATAAN AKHBAR
16 Mei 2008
Untuk Siaran Segera
 

JUALAN ‘VISTA WAWASAN’ MENDAPAT SAMBUTAN

Kuching, 16 Mei – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah mengadakan majlis pelancaran jualan perumahan ‘Vista Wawasan’ di Sarawak di bawah Skim Rumah Mampu Milik. Dianggarkan seramai 1000 orang telah mengunjungi majlis pelancaran ini.

Sejumlah 1,975 unit rumah mampu milik dari pelbagai jenis akan dibina oleh SPNB di bawah skim RMM yang terletak di Jalan Sultan Tengah, Daerah Tanah Salak, Kuching Sarawak.

Projek perumahan tersebut telah dilancarkan oleh Y.B. Dato Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan Sarawak. Majlis ini turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB dan juga Y.B. Abdul Wahab bin Aziz, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) serta para tetamu kehormat yang lain.

Menurut Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB, penduduk di Sarawak khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah menanti-nanti projek perumahan ini khususnya di Kuching. Projek ini sejajar dengan hasrat kerajaan iaitu satu keluarga satu kediaman. ‘Vista Wawasan’ adalah pilihan yang bijak kerana ianya terletak hanya 15km dari Bandaraya Kuching, projek ini di kelilingi dengan panorama alam semulajadi iaitu Gunung Santubong dan juga Sungai Sarawak. Ia juga berhampiran dengan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, institusi pengajian tinggi, pejabat-pejabat kerajaan dan taman rekreasi.

‘Vista Wawasan’ merupakan pembangunan bercampur rumah mampu miliki yang dibina di atas tanah seluas 158 ekar yang menawarkan pelbagai jenis kediaman seperti 211 unit rumah setingkat seluas 750 kaki persegi berharga daripada RM98,500 dan 1,282 unit rumah setingkat berkeluasan 850 kaki persegi berharga daripada RM155,500. Dengan deposit serendah RM100, mereka yang berpendapatan rendah juga boleh memiliki rumah kos rendah yang berharga RM42,000 seunit. Sebanyak 16 unit rumah berkembar berkeluasan 1000 kaki persegi turut ditawarkan kepada pembeli yang inginkan kediaman yang luas dan mempunyai kawasan tanah yang besar.

Sebanyak 80% rumah kos rendah bagi fasa satu telah terjual dan secara keseluruhan, sebanyak 269 unit rumah bagi projek ini telah terjual sejak pelancaran tersebut.

SPNB komited untuk membina 66 projek perumahan yang merangkumi 71,561 unit rumah mampu milik di seluruh negara yang bernilai RM7.6 bilion di bawah Skim Rumah Mampu Milik (RMM). Bagi projek yang telah siap, SPNB telah berjaya menyiapkan 4,258 unit kediaman yang bernilai RM212 juta. Di Sarawak, SPNB mensasarkan pembinaan 12,241 unit rumah dari pelbagai jenis yang meliputi daerah Kuching, Sibu, Kota Samarahan, Miri dan Bintulu. Kini, SPNB sedang membangunkan 1,152 unit rumah jenis pangsapuri di Kota Samarahan yang dikenali sebagai ‘Vista Ilmu’. Projek yang lain termasuklah 2,643 unit rumah dan unit-unit komersil yang terdapat di Daerah Miri iaitu di Desa Bahagia.

Selain daripada Skim RMM, SPNB juga membina rumah untuk mereka yang berpendapatan rendah di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR). Sejak ia diperkenalkan pada tahun 2002, sebanyak 11,410 unit rumah di bawah skim tersebut telah diluluskan pembinaannya bernilai RM607 juta dan sejumlah 1,197 unit di peringkat pembinaan. Sementara itu, sebanyak 5,504 unit lagi telah siap dan diserahkan kepada pemohon. Pelaksanaan RMR di Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), menunjukkan 500 permohonan telah diluluskan dan 50 unit lagi sedang dibina manakala 138 unit telah siap dan diserahkan kepada pemohon.

SPNB juga telah membaikpulih projek-projek perumahan yang diarahkan oleh Kementerian Kewangan di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sehingga kini, SPNB telah berjaya membaikpulih 72 projek terbengkalai yang merangkumi 22,453 unit rumah di mana 18 projek yang merangkumi 9,208 unit bernilai RM354 juta telah berjaya dibaikpulih. Sementara itu, 54 projek lagi berjumlah 13,245 unit telah berjaya disiapkan menerusi khidmat nasihat dan pemantauan SPNB. Kini, SPNB sedang membaikpulih sebanyak enam projek yang merangkumi 2,035 unit rumah bernilai RM127 juta. Sawarak mencatatkan sebanyak tiga projek terbengkalai yang merangkumi 64 unit rumah di Taman Seni, Taman Desa Guru dan Stapok Avenue.

Untuk maklumat lanjut mengenai projek-projek perumahan SPNB di Sarawak, kunjungi pejabat kami di Tingkat 19, Unit #19-02, Gateway Kuching, No. 9, Jalan Bukit Mata, Kuching. Pejabat di buka pada jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada hari bekerja dan untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Jualan & Pemasaran di Kuching di talian 082-230032.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170