KENYATAAN AKHBAR
20 Jun 2008
Untuk Siaran Segera
 

SPNB GIAT LAKSANA PROJEK PERUMAHAN DI SABAH
Oleh: YBhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.) sedang rancak melaksanakan pelbagai projek perumahan di seluruh negara termasuk di negeri Sabah, negeri di bawah bayu.

Sejak ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 yang lalu, SPNB bersama-sama kerajaan negeri berusaha keras dalam memenuhi keperluan perumahan untuk rakyat di negeri Sabah. Ini terbukti dengan pengenalan dua program perumahan iaitu program Rumah Mampu Milik (RMM) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang kini sedang giat dibangunkan oleh SPNB di serata daerah di negeri ini.

Bagi program RMM, SPNB telah mensasarkan pembinaan 150,000 unit RMM dari pelbagai jenis di seluruh negara sebagaimana yang telah diarahkan oleh Kerajaan. Sehingga kini, SPNB telah komited untuk membangunkan 66 projek yang merangkumi 71,561 unit RMM di seluruh negara dengan anggaran nilai pembangunan keseluruhan berjumlah RM7.6 billion. Sementara sejumlah 4,258 unit telah berjaya disiapkan dengan nilai pembangunan keseluruhan sebanyak RM212 juta.

Di negeri Sabah sahaja, SPNB telah diarahkan oleh Kerajaan untuk membina 30,000 unit RMM bernilai RM3 billion yang meliputi semua daerah berdasarkan keperluan perumahan oleh Kerajaan Negeri. Daripada jumlah tersebut, 14,978 unit yang melibatkan 14 buah projek sedang dalam pembinaan dan dijangka siap secara berperingkat bermula tahun 2008 hingga 2010 dengan nilai RM1.5 billion.

Selain daripada RMM, SPNB turut menawarkan program Rumah Mesra Rakyat (RMR) khusus untuk mereka yang berpendapatan rendah seperti petani, nelayan dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Rumah ini adalah rumah sesebuah berkeluasan 1000 atau 700 kaki persegi yang mempunyai 3 bilik dan 2 bilik air. 1/3 daripada kos pembinaan rumah ini dibiayai oleh Dana Khas Kerajaan Persekutuan sementara bakinya adalah merupakan pinjaman tanpa faedah berlandaskan konsep al-Qardhul Hassan. Pemohon hanya perlu membayar RM150 sebulan untuk tempoh 23 hingga 29 tahun.

Kini, 12,157 permohon telah diluluskan di seluruh negara melibatkan peruntukan sebanyak RM684 juta. Sejak ia diperkenalkan pada September 2002, 5,745 unit rumah yang bernilai RM253 juta telah siap dan diserahkan di seluruh negara manakala sebanyak 6,406 pemohon masih dalam proses perjanjian dan pembinaan. Di Sabah, SPNB telah menyerahkan 177 unit rumah (Nilai projek RM10 juta) dan kini, sedang membina dan memproses perjanjian sebanyak 316 unit rumah di serata negeri Sabah. Selain daripada itu, negeri Sabah juga mendapat tambahan peruntukan sebanyak 500 unit RMR yang bernilai RM35 juta.

SPNB juga telah membaikpulih projek-projek perumahan terbengkalai yang diarahkan oleh Kementerian Kewangan di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Agensi Pelaksana. Sehingga kini, SPNB telah berjaya membaikpulih 72 projek perumahan terbengkalai yang merangkumi 22,452 unit rumah dengan Sijil Layak Menduduki (CFO) di mana 18 projek yang merangkumi 9,207 unit bernilai RM354 juta telah berjaya dibaikpulih dengan bantuan kewangan oleh Kerajaan. Sementara itu, 54 projek lagi berjumlah 13,245 unit telah berjaya disiapkan menerusi khidmat nasihat dan pemantauan SPNB. Kini, SPNB sedang membaikpulih sebanyak enam projek yang merangkumi 2,035 unit rumah bernilai RM127 juta.

Untuk makluman lanjut mengenai projek-projek perumahan SPNB di Sabah, kunjungi pejabat kami di Suite 7.07B / 7.07C, Tingkat 7, Menara MAA, 88000 Kota Kinabalu, Sabah. Pejabat di buka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari bekerja. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Jualan & Pemasaran SPNB di Sabah di talian 088-455 283 / 284.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170