KENYATAAN AKHBAR
21 Jun 2008
Untuk Siaran Segera
 

‘VISTA PERDANA’ – KEHIDUPAN SEJAHTERA DIBANGUNKAN OLEH SPNB
Oleh: Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB

Miri, 21 Jun – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkukuhkan lagi kehadirannya di negeri Sarawak menerusi pembinaan projek perumahan baru yang merangkumi 2,703 unit rumah pelbagai jenis di bawah Skim Rumah Mampu Milik (RMM) di Miri. Projek perumahan yang dinamakan ’Vista Perdana’ ini terletak 10km dari bandaraya Miri dan ia sesuai untuk miliki oleh golongan yang berpendapatan sederhana dan sederhana rendah.

Pelancaran projek yang telah disempurnakan oleh Y.B. Dato Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan Sarawak turut dihadiri oleh Y.B. Senator Dato’ Azian Osman, Pengerusi SPNB, Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB serta para tetamu kehormat yang lain.

Projek perumahan yang terletak di lokasi utama bandaraya Miri ini sangat strategik kerana penduduk akan dapat menikmati pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, institusi pengajian tinggi antarabangsa, pejabat-pejabat kerajaan, pusat membeli-belah dan taman rekreasi. Pembelian projek perumahan berkualiti ini menjanjikan kenaikan nilai yang berharga.

Fasa pertama yang dibina di atas tanah seluas 296 ekar menawarkan pelbagai jenis kediaman seperti 1,690 unit rumah teres setingkat seluas 850 kaki persegi berharga daripada RM149,500 untuk golongan pendapatan sederhana. Manakala sebanyak 368 unit rumah berkembar setingkat yang ekslusif tetapi mampu dimiliki serta 83 unit rumah jenis banglo yang berharga daripada RM230,500 adalah untuk mereka yang impikan kediaman lebih nilai. Fasa kedua pula menawarkan rumah teres satu tingkat sebanyak 502 unit dan rumah kedai berjumlah 60 unit berkeluasan 750 dan 2400 kaki persegi bagi setiap jenis binaan. Pembeli yang inginkan kediaman ini akan menikmati bayaran pendahuluan serendah RM300.

Di bawah Skim Rumah Mampu Milik, SPNB komited untuk membina 66 projek perumahan yang merangkumi 71,561 unit rumah mampu milik di seluruh negara yang bernilai RM7.6 bilion. Kini, SPNB telah berjaya menyiapkan 3,258 unit kediaman yang bernilai RM212 juta. Di Sarawak sahaja, SPNB mensasarkan pembinaan 12,241 unit rumah dari pelbagai jenis yang merangkumi daerah Kuching, Sibu, Kota Samarahan, Miri dan Bintulu. SPNB kini sedang membangunkan 1,152 unit rumah jenis pangsapuri di Kota Samarahan yang dikenali sebagai ‘Vista Ilmu’ dan 1,975 unit pembangunan bercampur mampu milik di Jalan Sultan Tengah, Kuching yang dinamakan ‘Vista Wawasan’.

Untuk golongan yang berpendapatan rendah, SPNB komited untuk membina rumah di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat (RMR). Sejak ia diperkenalkan pada tahun 2002, sebanyak 12,157 unit rumah di bawah skim tersebut telah diluluskan pembinaannya bernilai RM652 juta dan sejumlah 1,394 unit di peringkat pembinaan. Sementara itu, sebanyak 5,745 unit lagi telah siap dan diserahkan kepada pemohon dengan kos yang bernilai RM252 juta. Pelaksanaan RMR di Sarawak dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) mencatatkan 529 permohonan telah diluluskan dan 152 unit daripada jumlah tersebut telah siap dan diserahkan kepada pemohon.

SPNB juga telah membaikpulih projek-projek perumahan terbengkalai yang diarahkan oleh Kementerian Kewangan di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sehingga kini, SPNB telah berjaya membaikpulih 72 projek terbengkalai yang merangkumi 22,452 unit rumah di mana 18 projek merangkumi 9,207 unit bernilai RM354 juta telah berjaya dibaikpulih. Sementara itu, 54 projek lagi berjumlah 13,245 unit telah berjaya disiapkan menerusi khidmat nasihat dan pemantauan SPNB. Kini, SPNB sedang membaikpulih sebanyak enam projek yang merangkumi 2,035 unit rumah bernilai RM127 juta. Dengan bantuan Kementerian Perumahan Sarawak, SPNB diarahkan untuk memulihkan sebanyak tiga projek perumahan terbengkalai iaitu di Taman Seni, Taman Desa Guru dan Stapok Avenue.

Untuk makluman lanjut mengenai projek-projek perumahan SPNB di Sarawak, kunjungi pejabat kami di Tingkat 19, Unit #19-02, Gateway Kuching, No. 9, Jalan Bukit Mata, Kuching. Pejabat di buka dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari bekerja. Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Jualan & Pemasaran SPNB di Kuching di talian 082-230 032.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170