KENYATAAN AKHBAR
10 Januari 2009
Untuk Siaran Segera
 
SPNB KOMITED MEMBANTU GOLONGAN MISKIN MILIKI KEDIAMAN
Oleh: Dato’ Hj. Mohd Amin Mohd Salleh, Pengarah Urusan

Kuala Terengganu, 10 Jan – Meskipun berhadapan dengan krisis ekonomi, Syarikat Milik Penuh Menteri Kewangan DiPerbadankan (MOF) meneruskan peranannya membantu Kerajaan dalam merangsang ekonomi negara menerusi pembinaan rumah mampu milik untuk orang ramai.

Kerajaan memperlihatkan komitmennya dalam menyediakan keperluan perumahan untuk masyarakat termasuklah di negeri Terengganu apabila Y.A.B. Dato’ Ahmad bin Said menyerahkan 20 unit kunci rumah dan 18 surat tawaran pemohon program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Kuala Terengganu. Majlis ini turut disaksikan oleh Y.Bhg. Dato’ Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh, Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Y.B. Senator Dato’ Azian bin Osman, Pengerusi SPNB, Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB dan para tetamu yang lain.

Di negeri Terengganu, sejumlah 1,890 permohonan RMR telah diluluskan oleh SPNB yang mana 1,098 unit telahpun siap dibina. Kini, SPNB sedang membina dan juga memproses dokumen perjanjian sebanyak 792 permohonan. Daerah Besut mencatatkan bilangan unit tertinggi RMR yang telah siap dibina iaitu sebanyak 220, diikuti Hulu Terengganu sebanyak 211. Untuk daerah Kuala Terengganu, Kemaman dan Marang, masing-masing telah siap dibina sebanyak 109, 176 dan 162 unit.

Secara keseluruhan, SPNB telah berjaya menyiapkan sebanyak 7,428 unit rumah RMR yang bernilai RM353 juta di seluruh Malaysia. Pada tahun 2009, SPNB mensasarkan pembinaan sebanyak 3,500 unit menjadikan jumlah keseluruhan RMR yang bakal siap dibina sebanyak 10,928 unit.

Selain daripada program RMR, SPNB turut menawarkan Program Rumah Mampu Milik (RMM) yang terbuka kepada semua. Harga yang ditawarkan sekitar RM35,000 ke RM100,000 dengan kadar deposit minimum serendah RM500. Sehingga kini, SPNB telah berjaya melancarkan 24 buah projek RMM dengan menawarkan 21,891 unit rumah pelbagai jenis di seluruh negara. Untuk tahun 2009, SPNB berhasrat melancarkan 23 projek lagi dengan menawarkan 10,086 unit bernilai RM500 juta bagi keseluruhan nilai jualan.

SPNB juga dipertanggungjawabkan untuk membaikpulih rumah-rumah yang terbengkalai sepertimana yang diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kini, SPNB telah berjaya membaikpulih 73 buah projek perumahan (23,089 unit) di mana 19 projek (9,844 unit) telah dibaikpulih menerusi bantuan kewangan bernilai RM98.7 juta. Sementara itu, 54 projek (13,245 unit) telah dibaikpulih melalui khidmat nasihat dan pemantauan oleh SPNB. Di Terengganu, SPNB telah berjaya membaikpulih dua projek iaitu di Kuala Terengganu dan Dungun dengan jumlah rumah yang telah dibaikpulih sebanyak 30 unit.

Melangkah ke tahun 2009, SPNB akan meneruskan peranannya untuk menyediakan kediaman yang mampu dimiliki dan berkualiti di seluruh negara sejajar dengan visi dan misinya.

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170