KENYATAAN AKHBAR
21 Februari 2009
Untuk Siaran Segera
 
SPNB BERJAYA MENYIAPKAN SATU LAGI PROJEK PERUMAHAN MAMPU MILIK
Oleh: Dato’ Hj. Mohd Amin Mohd Salleh, Pengarah Urusan

Kuantan, 21 Februari – Majlis penyerahan kunci untuk pembeli rumah di Perkampungan Cerating Damai yang berlangsung di Cherating, Kuantan merupakan satu lagi kejayaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam menyediakan kediaman mampu milik yang selesa dan berkualiti khususnya kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Turut sama meraikan kegembiraan tersebut ialah Y.A.B. Dato’ Sri Hj. Adnan bin Hj. Yaakob, Menteri Besar Pahang yang menyempurnakan majlis dan juga Y.B. Senator Dato’ Azian bin Osman, Pengerusi SPNB, Y.Bhg. Dato’ Hj. Mohd Amin bin Mohd Salleh, Pengarah Urusan SPNB serta para tetamu jemputan yang lain.

Lokasi yang strategik di laluan utama menghubungkan antara Kuantan – Terengganu dan laluan keluar ke Lebuhraya Timur Barat, projek perumahan yang menerima Sijil Layak Menduduki (CF) pada 9 Januari 2009 yang lalu menawarkan 250 unit rumah dan empat unit lot kedai berharga antara RM35,000 seunit bagi rumah kos rendah, RM60,000 seunit untuk rumah teres kos sederhana rendah dan RM79,000 seunit bagi rumah teres kos sederhana. Untuk lot kedai pula, keempat-empat unit telah terjual dengan harga dari RM90,000 ke RM123,546 seunit.

Di negeri Pahang, SPNB mensasarkan pembinaan lapan buah projek rumah mampu milik yang terdiri daripada 3,335 unit rumah dari pelbagai jenis yang merangkumi daerah Kuantan, Temerloh, Rompin, Pekan dan Maran. SPNB komited untuk membangunkan 126 projek perumahan mampu milik di seluruh negara merangkumi 118,475 unit di bawah Program Rumah Mampu Milik.

Selain Program Rumah Mampu Milik, SPNB turut menyediakan perumahan untuk mereka yang kurang berkemampuan menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR). Statistik di seluruh negara mencatatkan SPNB telah berjaya membina 7,972* unit sementara 7,623* unit lagi di peringkat pembinaan dan perjanjian. Di Pahang, sejumlah 503* unit RMR telah berjaya disiapkan dan 543* unit lagi masih di peringkat pembinaan.

* Setakat 1 Februari 2009

Selain program RMR, SPNB juga bertindak sebagai agen pelaksana untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memulihkan projek-projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negara. Kini, SPNB telah berjaya membaikpulih 73* buah projek perumahan di seluruh negara merangkumi 23,089* unit di mana 19* buah projek berjaya dibaikpulih menerusi bantuan kewangan manakala 54* projek lagi dibaikpulih menerusi khidmat nasihat serta kepakaran SPNB. Pahang mencatatkan tujuh projek telah berjaya dibaikpulih melibatkan 2,565* unit rumah. Kini, SPNB sedang membaikpulih dua buah projek di Kuantan iaitu di Taman Dato’ Rashid dan Taman Sungai Karang Darat yang melibatkan 958 unit rumah kesemuanya.

* Setakat 31 Januari 2009

         
 
© 2007-2012 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170