Siaran Akhbar
12 SEPTEMBER 2009
 

RUMAH BARU SPNB UNTUK HARI RAYA
Oleh: Y.Bhg. Dr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB

Seremban, N. Sembilan, 12 September – Setelah 25 tahun yang penuh tekanan dan kehampaan, seramai 96 pemilik rumah Taman Senawang Jaya (Fasa 1C) boleh berpindah ke rumah baru mereka yang pernah terbengkalai.

Kunci rumah mereka telah diserahkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan yang berlangsung pada hari ini di Seremban. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Y.B. Senator Dato’ Azian Osman, Pengerusi SPNB, Y.Bhg. Dr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB dan beberapa tetamu kenamaan.

Projek ini telah dimulakan pada tahun 1982 namun telah terbengkalai pada tahun 1984 disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadapi oleh pemaju terdahulu. Setiap unit rumah berharga RM41,000 sehingga RM67,000 dengan keluasan 858 kaki persegi manakala keluasan tanah pula adalah seluas 1,540 kaki persegi. Sijil Layak Menduduki (CFO) telah diperolehi pada bulan Mei 2009 dengan kos baikpulih melebihi RM15 juta.

Proses membaikpulih memerlukan pihak Kerajaan menyerap lebihan kos malahan tiada tambahan kos dikenakan kepada pemilik rumah.

Sehingga kini, SPNB telah membaikpulih 21 projek yang melibatkan 9,940 unit rumah bernilai RM433 juta di seluruh Malaysia termasuk 320 unit rumah Taman Pelangi, Sikamat di Negeri Sembilan.

Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) adalah program yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang berhadapan dengan kesukaran membuat pinjaman dengan institusi perbankan untuk memiliki rumah yang selesa.

Di Negeri Sembilan sahaja, sebanyak 1,782 unit RMR telah diluluskan untuk dibina manakala sejumlah 1,109 unit telah siap dan diserahkan. SPNB juga telah menyiapkan sebanyak 11,569 unit rumah RMR di seluruh negara di mana sebanyak 6,398 unit lagi masih dalam pembinaan.

Selain daripada pemulihan projek terbengkalai dan program RMR, SPNB juga membina rumah di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM) untuk golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. SPNB juga merancang untuk membangunkan sebanyak 35 buah projek yang melibatkan sebanyak 35,583 unit Rumah Mampu Milik diseluruh Malaysia.

SPNB telah menyiapkan tiga buah projek RMM di Negeri Sembilan iaitu Taman Selasih, Seremban Putra dan Taman Lukut Makmur manakala sebuah projek sedang dalam peringkat pembinaan iaitu di Rahang.

Kedua-dua program tersebut telah memperolehi bajet tambahan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi yang diumumkan oleh Kerajaan pada November 2008.