PERUMAHAN RMR UNTUK RAKYAT KELANTAN
Oleh: Prof Dr. Sr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB
Bachok, Kelantan, 24 Oktober – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Milik Penuh Menteri Kewangan DiPerbadankan (MOF) telah berjaya menyiapkan dan menyerahkan lebih daripada 60 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) di Bachok, Kelantan bagi tahun 2009.
Y.B. Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan telah menyerahkan lebih daripada 60 buah kunci rumah kepada pemilik rumah RMR di majlis yang berlansung di Bachok, Kelantan pada hari ini.
RMR adalah program khusus yang diilhamkan oleh kerajaan untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah yang mengalami kesukaran mendapatkan bantuan kewangan perumahan daripada institusi kewangan.
Menurut Prof Dr. Sr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan, SPNB membina sebuah rumah lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air di atas tanah pemohon. Kos keseluruhan rumah adalah sekitar RM70,000–RM80,000 namun pemilik hanya perlu membayar 2/3 daripada kos tersebut dan baki kos adalah disubsidi oleh kerajaan. Beliau percaya bayaran bulanan sebanyak RM150 selama 23 ke 29 tahun adalah amat berpatutan bagi rumah yang begitu memuaskan.
Di negeri Kelantan, sebanyak 1,001 unit rumah telah dibina daripada 2,802 unit yang telah diluluskan. Daerah Bachok mencatat pembinaan RMR yang tertinggi dengan jumlah 334 unit rumah siap dibina dan diiukuti oleh Pengkalan Chepa sebanyak 204 unit rumah.
Selain daripada Program RMR, SPNB turut menawarkan Program Rumah Mampu Milik (RMM) di mana ianya terbuka kepada semua rakyat Malaysia. Terkini, SPNB komited membangunkan 35 buah projek yang melibatkan 35,583 unit rumah yang mampu di miliki di seluruh Malaysia di bawah program ini.
Semasa, SPNB sedang membina empat buah projek RMM di Kelantan yang membabitkan sejumlah 2,713 unit pelbagai jenis di Taman Bator Harmoni di Bachok, Taman Perisai Wira di Kuala Krai, Taman Merbau Utama di Kok Lanas dan Taman Sri Bayu Tumpat di Tumpat. SPNB juga mensasarkan untuk membina 590 unit buah rumah lagi di Machang dan di Pasir Mas.
Selain RMR, SPNB telah membaikpulih 75 buah projek perumahan terbengkalai melibatkan 23,185 buah rumah diseluruh Malaysia. Terkini, SPNB telah diarahkan oleh Kementerian Kewangan untuk menyiapkan kerja-kerja membaikpulih 257 pemulihan projek terbengkalai yang melibatkan 74,652 unit rumah seperti yang telah diserahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Program-program perumahan ini adalah satu lagi contoh usaha kerajaan dalam menjayakan slogan 1 Malaysia di mana ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi. Kerajaan berusaha untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat, dan kami di SPNB turut memenuhi aspirasi tersebut. |