Siaran Akhbar
21 NOVEMBER 2009
 

SPNB BAIKPULIH PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI KOS RENDAH TERBESAR DI SELANGOR
Oleh: Prof Dr. Sr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB

Ijok, Selangor, 21 November – Seramai 2,500 pembeli rumah pangsa kos rendah Bandar Alam Perdana, Ijok kini dapat bergembira apabila pembinaan rumah mereka akan disambung setelah terbengkalai selama tujuh tahun oleh pemaju terdahulu.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dipertanggungjawabkan untuk membaikpulih rumah pangsa kos rendah ini dengan anggaran kos pemulihan sebanyak RM104 juta dan dijangka siap pada pertengahan 2011.

Berita baik ini diumumkan pada majlis yang berlangsung di tapak projek tersebut dengan kehadiran pembeli-pembeli rumah terbabit. Y.B. Dato’ Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan II turut hadir menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. Majlis turut dihadiri oleh Y.B. Senator Dato’ Azian Osman, Pengerusi SPNB, Y.Bhg. Prof. Dr. Sr.Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB dan beberapa tetamu kenamaan yang lain.

Projek perumahan Bandar Alam Perdana melibatkan pembangunan bercampur sebanyak 3,819 unit rumah di atas tanah seluas 393 ekar. Pembinaannya telah dimulakan pada Mei 2000 dan terbengkalai pada Disember 2002. Sebahagian daripadanya adalah 2,500 unit rumah pangsa kos rendah yang berharga RM35,000.00. Projek ini yang telah terjual sebanyak 90 peratus terbengkalai pada tahap kesiapan 20-65 peratus.

Menurut Y.B. Senator Dato’ Azian Osman; Pengerusi SPNB, pihak SPNB telah mengadakan perjumpaan bersama pembeli rumah semenjak Mei 2007. SPNB juga komited mengendalikan dan mengambil alih projek tanpa mengenakan kos tambahan kepada pembeli-pembeli rumah.

SPNB dilantik sebagai Agensi Pelaksana oleh Kementerian Kewangan di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengambil alih projek perumahan terbengkalai pada Mac 2001 dengan menggunakan dana awal daripada Tabung Perumahan Projek Terbengkalai (TPPT). Sebanyak RM730 juta telah diperuntukkan untuk mengambilalih projek-projek perumahan terbengkalai yang telah dikenalpasti di seluruh negara.

Sehingga kini, sebanyak 75 buah projek perumahan terbengkalai yang melibatkan 23,185 unit rumah telah siap dibaikpulih oleh SPNB dengan kos sebanyak RM433 juta termasuk di Negeri Selangor iaitu sebanyak 12 buah projek (3,376 unit) di antaranya di Taman Dalma di Semenyih, Taman Lingkaran Nur di Cheras, Bandar Pinggiran Subang di Shah Alam. SPNB juga sedang membaikpulih dua buah projek perumahan lagi di Selangor iaitu Taman Khalid Al-Walid di Shah Alam dan Taman Nuri Indah di Sepang.

Selain daripada kerja membaikpulih, SPNB turut membina rumah mampu milik dengan harga di antara RM35,000 ke RM200,000 di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM). Setakat ini, SPNB telah menyiapkan 17 buah projek melibatkan 8,853 dan sedang membina 35 buah projek yang melibatkan 35,583 unit. Keseluruhan projek ini melibatkan 2,365 ekar tanah bernilai RM4.7 bilion. Antara projek-projek yang dibuka untuk promosi jualan di Selangor adalah Pangsapuri Laguna Biru di Kuang, Pangsapuri Alam Prima di Shah Alam dan Telok Gong, Klang.

Seiring dengan semangat 1 Malaysia, SPNB komited untuk menyediakan kediaman yang merupakan antara keperluan asas penting kepada semua rakyat Malaysia.