KENYATAAN AKHBAR
1 Februari 2010
Untuk Siaran Segera
 

SPNB SERAH RUMAH MESRA RAKYAT KEPADA GOLONGAN YANG MEMERLUKAN DI KUALA PILAH
Oleh: Prof Dr. Sr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB

Kuala Pilah, Negeri Sembilan, 1 Februari – Golongan berpendapatan rendah di Parlimen Kuala Pilah kini dapat bergembira apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bersedia menyerahkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di kawasan mereka.

Majlis yang berlangsung di Dewan Dato’ Bahaman, Kuala Pilah menyaksikan hampir 50 orang menerima kunci RMR yang telah diserahkan oleh Y.B. Dato’ Hasan Bin Malek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kuala Pilah. Turut hadir ialah Y.B. Senator Dato’ Azian Osman, Pengerusi SPNB dan Y.Bhg. Prof. Dr. Sr.Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan SPNB.

Karnival sehari ini turut mendapat tajaan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang melibatkan penyertaan oleh agensi-agensi negeri dan beberapa pengusaha tempatan yang datang untuk mempamerkan serta memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Program RMR ini adalah untuk golongan yang mempunyai tanah dan berpendapatan kasar isirumah tidak melebihi daripada RM1,500 sebulan serta menghadapi kesukaran untuk mendapat pinjaman untuk membeli atau membina rumah sendiri.

Pemohon yang berjaya akan memiliki banglo setingkat dengan minimum keluasan lantai 700kps dan dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Bagi meringankan beban rakyat, Kerajaan Persekutuan akan menanggung satu pertiga (1/3) daripada kos pembinaan manakala pembeli hanya perlu membayar RM150 sebulan tanpa dikenakan sebarang faedah berdasarkan konsep Al-Qardhhul Hassan.

Program RMR telah menerima maklumbalas yang baik daripada rakyat dan sentiasa mendapat perhatian kerajaan melalui peruntukan yang besar iaitu sejumlah 1.2 billion bagi merealisasikan pelaksanaan program ini di seluruh Malaysia.

Di seluruh negara, sebanyak 17,967 permohonan telah diluluskan dengan jumlah 12,579 unit rumah telah diserahkan kepada pemohon sementara 6,398 unit rumah masih di dalam pembinaan. Di Negeri Sembilan sahaja, SPNB telah berjaya menyiapkan 1,328 unit RMR. Sejumlah 1,782 permohonan telah diluluskan di mana daerah Rembau mencatakan kelulusan tertinggi iaitu sebanyak 512 pemohon.

Satu lagi produk SPNB ialah Program Rumah Mampu Milik (RMM), di mana SPNB sedang membina sebanyak 35 buah projek perumahan merangkumi 26,548 unit RMM di seluruh Malaysia. Terkini, SPNB telah membaikpulih 17 buah projek (9,046 unit rumah) merangkumi Kedah, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak. Di Negeri Sembilan sahaja, SPNB telah menyiapkan tiga buah projek yang melibatkan 1,717 unit rumah iaitu Taman Selasih di Senaling, Pangsapuri Seremban Putra di Seremban dan Taman Lukut Makmur di Lukut.

SPNB juga turut bertanggungjawab untuk membaikpulih projek-rojek perumahan terbengkalai seperti yang diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Sejumlah 76 buah projek perumahan telah berjaya dibaikpulih dengan melibatkan 24,006 unit rumah dengan kos pembangunan sebanyak RM466 juta.

Bagi tahun 2010 dan berikutnya, SPNB akan terus menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki untuk rakyat di seluruh Malaysia seiring dengan semangat 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan! Pencapaian di Utamakan!

         
 
© 2007-2011 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

HOTLINE: 1300 80 3838
Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170