DATUK Ir. HJ. IDRIS BIN HJ. HARON DILANTIK PENGERUSI SPNB
Oleh: Prof. Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh, Pengarah Urusan
Kuala Lumpur, 9 April – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) mengumumkan perlantikan baru Pengerusi SPNB iaitu Y.B. Datuk Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron yang berkuatkuasa pada 1 April 2010. Beliau yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang kejuruteraan elektrik menggantikan Y.B. Senator Dato’ Azian bin Osman yang telah tamat perkhidmatannya baru-baru ini.
Y.B. Datuk Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, 44 tahun berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Texas, Elpaso, Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang penceramah yang unggul, kaunselor dan perantara yang mempunyai jalinan kerjasama erat bersama pihak media dan masyarakat.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Tangga Batu dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Sebelum ini beliau memegang jawatan dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dari Mac 2008 sehingga April 2009.
Sepintas lalu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) merupakan agensi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF. Inc.) komited untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia melalui pelaksanaan beberapa program perumahan seperti Rumah Mampu Milik (RMM), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan juga Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (PPT). Bagi Program RMM, sebanyak 9,046 unit rumah telah berjaya disiapkan dan sejumlah 28,208 unit lagi masih di peringkat pembinaan.