SPNB BERJAYA MENYIAPKAN PERUMAHAN TERBENGKALAI DI SEREMBAN
Oleh: Prof Dr. Sr. Kamarul Rashdan bin Salleh, Pengarah Urusan
Seremban, Negeri Sembilan, 11 Mei – Kerajaan Barisan Nasional melalui agensi pelaksananya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah berjaya membaikpulih satu lagi projek perumahan terbengkalai seterusnya menamatkan penderitaan selama 20 tahun seramai lebih kurang 257 orang pembeli Taman Pelangi.
Melalui majlis perasmian penyerahan kunci rumah, Y.B Datuk Ir. Hj. Idris Hj Haron selaku Pengerusi SPNB turut mengumumkan bahawa SPNB telah berjaya memperolehi pengecualian daripada Kerajaan Negeri bagi denda lewat cukai tanah iaitu sejumlah RM578,000 bagi mengurangkan lagi bebanan pembeli rumah.
Taman Pelangi yang terdiri daripada rumah kos rendah dan sederhana berkeluasan 650 hingga 760 kaki persegi dijual pada harga RM25,000 hingga RM63,000. SPNB telah memulakan kerja membaik pulih projek tersebut pada tahun 2007 setelah dibiarkan terbengkalai pada tahun 1990 pada tahap 55 hingga 80 peratus kesiapan. Kos membaik pulih adalah melibatkan RM9.8 juta dan Sijil Layak Menduduki telah diperolehi pada 1 Mac 2010.
Pada asalnya, SPNB telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi membaik pulih projek terbengkalai semenjak tahun 2001 yang mana peranannya tertumpu kepada usaha membaik pulih serta memberi khidmat nasihat seperti yang diarahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sehingga kini, SPNB telah berjaya membaikpulih sebanyak 77 buah projek yang melibatkan 24,326 unit dengan nilai pembangunan sejumlah RM480 juta.
SPNB sedang membaikpulih 11 buah projek di seluruh Negara di bawah pakej Ransangan Ekonomi dengan kos pemulihan RM381 juta. Di Negeri Sembilan sahaja, SPNB telah membaik pulih sembilan (9) buah projek antaranya adalah Taman Senawang Jaya dan Taman Seri Bayu.
SPNB juga turut membina projek perumahan di bawah Program Rumah Mampu Milik (RMM)di mana sebanyak 9,046 unit rumah telah dibina melibatkan 335 ekar. Di Negeri Sembilan, sebanyak tiga (3) buah projek melibatkan 1717 unit di bawah program ini.
Bagi program yang telah menerima respon yang amat menggalakkan iaitu Rumah Mesra Rakyat(RMR), SPNB telah menerima permohonan sebanyak 42,148 dan setakat ini telah membina 14,568 unit dengan nilai projek RM840 juta. Melalui skim ini, pemohon hanya perlu membayar RM150 sebulan selama 26 tahun.
SPNB tetap terus komited dalam meneruskan agenda perumahan Negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan perumahan mampu milik berharga Rm100,000 ke bawah.