ADUAN PENDUDUK VISTA SERI MELALIN
Oleh: Y.Bhg. Prof. Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh, Pengarah Urusan
Selangor, 10 Jun – Merujuk kepada laporan wartawan Borneo Post mengenai aduan penduduk Vista Sri Melalin, Sabah.
Projek Vista Seri Melalin terdiri daripada 512 unit pangsapuri kos sederhana yang mana pelancaran jualannya bermula pada bulan Mac 2007 dan telah siap dengan Sijil Layak Menduduki (CF) semenjak bulan Ogos 2008. Selepas dua tahun pelancaran, pencapaian jualan hanya mencapai 15% iaitu 77 unit sahaja.
Bagi mengurangkan kos penyelengaraan bulanan yang tinggi untuk unit yang tidak terjual, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah menerima tawaran daripada Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) Sabah untuk menyewa sebanyak 240 unit pangsapuri di Vista Seri Melalin seperti yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Bagi pihak MINDEF, ia membantu menyediakan kemudahan perumahan kepada kakitangan-kakitangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpusat di Teluk Sepanggar.
Untuk makluman juga, hanya empat blok perumahan yang dipagar bagi tujuan keselamatan, dan hanya 16 penduduk awam yang terlibat di dalam kawasan yang berpagar. Kesemua penduduk yang terlibat telah dimaklumkan berkenaan perkara tersebut dan satu taklimat bersama pihak TLDM akan diadakan pada 19 Jun 2010 bagi mengatasi sebarang kekeliruan yang mungkin timbul kelak.