SPNB SERAH KUNCI RUMAH BARU KEPADA MANGSA-MANGSA BANJIR KAMPUNG GAJAH, KLUANG, JOHOR
Oleh: Y.B. Datuk Wira Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Pengerusi SPNB
Kluang, 30 Jan – Seramai 56 mangsa banjir daripada Kampung Sri Cahaya dapat mengukir senyuman kerana dapat mendiami kediaman baru setelah kediaman lama mereka berhadapan dengan masalah banjir sebelum ini. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dilantik sebagai agensi pelaksana oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membangunkan perumahan untuk mangsa-mangsa banjir di Taman Sejahtera, Kampung Gajah, Kluang.
Majlis penyerahan kunci rumah penempatan mangsa banjir Kg. Gajah telah dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein iaitu Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Sembrong. Majlis ini turut dihadiri oleh Y.B. Datuk Wira Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Pengerusi SPNB dan juga Y.Bhg. Tuan Hj. Abdul Karim Abu Bakar; Pegawai Daerah Kluang.
Projek seluas 11 ekar yang dibangunkan di kawasan ini meliputi pembangunan perumahan rumah teres setingkat sebanyak 60 unit dan sebanyak 7 unit rumah kedai. Sebanyak lebih RM13 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan untuk membangunkan projek perumahan ini.
Rumah-rumah ini dilengkapi dengan 3 bilik tidur, 2 bilik air dan 1 bilik utiliti. Selain itu juga, projek ini turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti surau, taman permainan kanak-kanak untuk keselesaan dan kemudahan penduduk.
Kerajaan SPNB telah memulakan pembinaan projek Taman Desa Sejahtera ini pada November 2008 dan telah memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada Disember 2011.
Harga pembinaan bagi setiap unit rumah bermula daripada RM96, 868.86 di mana Kerajaan akan membiayai separuh daripada harga rumah ini. Para pemilik rumah hanya perlu membayar RM100 sebulan kepada SPNB.
Selain Negeri Johor, SPNB juga membangunkan projek-projek perumahan untuk mangsa-mangsa banjir secara berkelompok dan individu di Negeri Kelantan, Pahang dan Sabah setelah fenomena banjir luarbiasa melanda pada bulan Disember 2006 sehingga Februari 2007.
Di Negeri Johor sahaja, terdapat tiga buah projek perumahan berkelompok yang dibangunkan di atas tapak-tapak yang telah disediakan oleh Kerajaan Negeri. Pembangunan perumahan berkelompok ini melibatkan sejumlah 462 unit rumah iaitu di Kg. Gajah dan Kg. Parit Salam, Kluang serta Mukim Ulu Sg. Johor, Kota Tinggi.
SPNB milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF. Inc.) komited menyediakan rumah mampu dimiliki untuk rakyat Malaysia melalui pelaksanaan perumahan seperti Program Rumah Mampu Milik (RMM), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan juga Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai (PPPT).
|