KENYATAAN AKHBAR
31 Januari 2012
Untuk Siaran Segera
 

SPNB ANJUR SEMINAR PENGGUNAAN TEKNOLOGI SISTEM INDUSTRIALISED BUILDING SYSTEM (IBS) BAGI PROGRAM RUMAH MESRA RAKYAT KEPADA KONTRAKTOR KELAS F
Oleh: Y.B. Datuk Wira Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Pengerusi SPNB

Kuala Lumpur, 31. Jan – Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) buat julung kalinya menganjurkan seminar penggunaan teknologi sistem Industrialised Building System (IBS) kepada kontraktor-kontraktor Kelas F bagi Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Perak bertempat di Dewan Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Seminar ini bertujuan untuk memberikan pemahaman dan gambaran yang lebih jelas kepada kontraktor-kontraktror kelas ‘F’ yang berdaftar dengan SPNB bagi memudahkan serta melicinkan kerja-kerja pembinaan rekabentuk baru Rumah Mesra Rakyat (RMR) menggunakan sistem IBS. Seminar ini juga dapat membantu SPNB merealisasikan pembinaan 10,000 unit RMR pada tahun 2012 di seluruh negara sepertimana yang telah diamanatkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia dalam Bajet 2012 yang lalu.

Rekabentuk baru RMR ini dijamin berdaya tahan dan mengutamakan rekabentuk yang lebih dinamik, ekonomik serta inovatif. Ia juga mampu mempercepatkan jangkamasa pembinaan serta menghasilkan rumah yang lebih berkualiti. Pembinaan RMR masih mengekalkankonsep 3 bilik tidur dan 2 bilik air dengan keluasan 1000 kaki per segi di mana setiap rekabentuk dan spesifikasi adalah mengikut kehendak majlis tempatan dan Malaysia Uniform Building By Laws (UBBL).

Sehingga kini, sebanyak enam buah syarikat IBS akan berkerjasama dengan SPNB bagi merealisasikan pembinaan RMR berkonsepkan IBS. Syarikat yang dimaksudkan adalah Tanjung Ratus Development Sdn Bhd, Konsortium IBS Utara, Proven Construction Development Sdn Bhd, Concord Alliance Sdn. Bhd, Nafas Juta Sdn Bhd dan Equaltra (M) Sdn. Bhd.

Seminar ini telah disempurnakan oleh Y.B. Datuk Wira Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron, Pengerusi SPNB. Turut hadir ialah Y.Bhg. Datuk Ir. Hamzah Hasan; Pengerusi CIDB, Y.Bhg. Dato' Sri Ir. Dr. Judin Abdul Karim; Ketua Eksekutif CIDB serta Y.Bhg. Dato’ Dr. Sr. Kamarul Rashdan Salleh; Pengarah Urusan SPNB.

Tujuan program RMR adalah bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang (daif) tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan lebih selesa dengan pendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi daripada RM1,500 sebulan.

Sejak Program ini diperkenalkan pada tahun 2002, sebanyak 19,931 unit rumah di bawah program tersebut telah diluluskan pembinaannya dan sebanyak 849 unit lagi masih dalam pembinaan.

SPNB milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF. Inc.) komited menyediakan rumah mampu dimiliki untuk rakyat Malaysia melalui pelaksanaan perumahan seperti Program Rumah Mampu Milik (RMM), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan juga Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai (PPPT).

         
 
© 2007-2011 Syarikat Perumahan Negara Berhad. Hakcipta Terpelihara.

PENAFIAN: Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) adalah tidak bertanggungjawab bagi apa-apa kehilangan atau kerugian yang disebabkan oleh penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini serta tidak boleh ditafsirkan sebagai ejen kepada, ataupun syarikat yang disyorkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

Syarikat Perumahan Negara Berhad (444205-M)
Tingkat 8, Wisma Perkeso,
Jalan Tun Razak, 50400 Kuala Lumpur.

HOTLINE: 1300 80 3838
Tel: 603 - 2618 5555
Faks: 603 - 2681 0170