Utama Petalaman English Version
Mengenai SPNB Projek Perumahan Sumbangan Sosial Berita & Acara Panduan Kerjaya Soalan Lazim Hubungi Kami Hiperpautan
 Pengenalan
Projek Perumahan

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dipertanggungjawabkan membina rumah yang mampu dimiliki dan selesa untuk didiami melalui pelaksanaan dua skim perumahan di samping membantu membaikpulih kembali projek perumahan yang telah terbengkalai. SPNB juga berperanan membina kuarters kerajaan dan projek perumahan khas berdasarkan arahan Kementerian Kewangan.

 
Skim Rumah Mampu Milik
Tanggungjawab utama SPNB difokuskan kepada pembangunan rumah mampu milik di seluruh negara melalui pelaksanaan Skim Rumah Mampu Milik atau lebih dikenali Skim RMM.

Sehingga kini, SPNB telah berjaya menyiapkan beberapa projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan kos sederhana melalui pelaksanaan skim berkenaan.
 
Skim Rumah Mesra Rakyat
Di bawah Skim Rumah Mesra Rakyat atau Skim RMR ini, SPNB telah berjaya menyediakan pemilikan rumah untuk golongan berpendapatan rendah dengan pendapatan tahunan isi rumah tidak melebihi RM18,000 serta mengalami kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi-institusi kewangan.

Sebagai bukti kesungguhan syarikat dalam membantu golongan berpendapatan rendah, SPNB telah meluluskan 10,910* permohonan di seluruh negara di mana 4,344* unit telah berjaya disiapkan manakala 2,206* unit lagi masih dalam pembinaan.

Secara tidak langsung, skim ini memberi peluang pekerjaan kepada 3,588* kontraktor Kelas F di seluruh negara.

* Statistik setakat 11 Disember 2007
 
Pemulihan Projek
Pada 10 Mac 2001, SPNB telah dilantik oleh Kementerian Kewangan di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Agensi Pelaksana untuk Projek Pemulihan Perumahan Terbengkalai.

Sehingga 15 April 2007, SPNB telah dipertanggungjawabkan untuk mengambilalih dan seterusnya memulihkan 186 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara membabitkan 55,486 unit rumah dengan anggaran nilai projek sebanyak RM 4.3 bilion.

 
Perumahan Anggota Tentera di Lembah Klang
SPNB bertindak sebagai syarikat pembinaan yang bertanggungjawab membina kuarters-kuarters untuk pelbagai agensi Kerajaan seperti Angkatan Tentera, Perkhidmatan Awam dan pelbagai badan Kerajaan.

Salah satu daripada projek yang sedang giat dilaksanakan adalah pembinaan kuarters untuk Angkatan Tentera di sekitar Lembah Kelang melalui Syarikat Usahasama SPNB-LTAT Sdn. Bhd. (USL), iaitu perkongsian bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 
Projek Perumahan Khas
Sebagai sebuah entiti kerajaan untuk pembangunan projek perumahan, SPNB juga diamanahkan untuk menyempurnakan pelbagai projek khas seperti yang diarahkan oleh Kementerian Kewangan dari masa ke semasa.

Antaranya, termasuk 245* buah rumah transit, 824* rumah baru dan pembaikian 450* buah rumah rosak akibat bencana Tsunami pada 26 Disember 2004 yang lalu. SPNB juga turut membina pangsapuri kos rendah di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah setinggan.